KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Agensi penyebar maklumat kerajaan seperti Kementerian Penerangan mempunyai tugas penting untuk memberi kefahaman kepada rakyat tentang konsep 1Malaysia serta falsafahnya, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail.
Beliau berkata ini bagi memudahkan rakyat menyesuaikan diri dengan dasar baru itu serta menghadapi sebarang bentuk kekangan yang menjadi perkara lumrah apabila memperkenalkan sesuatu yang baru.
"Apa sahaja kekangan yang wujud hari ini, bagi saya yang besar sekali adalah sikap...kalau sekiranya kita gagal untuk membentuk satu sikap baru maka susahlah...daripada dulu sampai sekarang sama sahaja," katanya ketika memberi ceramah khas Gagasan 1Malaysia di Wisma Bernama di sini Isnin.
Shahlan berkata lambat menyesuaikan diri dengan sesuatu dasar baru itu juga menjadi penyebab utama kepada masalah tersebut.
"Sikap kita yang tunggu dan lihat...ini yang menjadi masalah. Oleh sebab itu kita hendaklah keluar daripada sikap ini dengan mengambil langkah proaktif," katanya.
Ketika ditanya, beliau menyatakan kerajaan telah menjalankan kaji selidik tentang penerimaan rakyat terhad konsep 1Malaysia.
Namun, katanya ia masih belum mencukupi dan beliau mengalu-alukan sekiranya pihak lain seperti Bernama mahu menyalurkan apa sahaja tentang penerimaan rakyat terhadap konsep 1Malaysia kepada Perdana Menteri.
Shahlan berkata 1Malaysia merupakan pemangkin untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju sejajar dengan matlamat Wawasan 2020.
Katanya 1Malaysia adalah salah satu pengisian untuk negara kita mencapai tahap itu dalam tempoh 10 tahun lagi.
Oleh itu, katanya semua pihak perlu membentuk sikap positif dan menyesuaikan diri dengan dasar baru itu.