HomeNews Pengiktirafan Batu Bersurat Terengganu Galak Pemeliharaan Khazanah Negara
Pengiktirafan Batu Bersurat Terengganu Galak Pemeliharaan Khazanah Negara
KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pengiktirafan Batu Bersurat Terengganu sebagai Daftar Memori Dunia Antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) akan menggalakkan inisiatif pemeliharaan khazanah warisan negara pada masa akan datang.Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata menerusi pengiktirafan itu juga secara tidak langsung dapat menarik minat para pengkaji, penyelidik untuk membuat kajian mengenai Batu Bersurat Terengganu dengan lebih mendalam sekali gus menjadi pemangkin kepada kedatangan pelancong ke negara ini.
"Dengan pengiktirafan ini, ia juga akan menaikkan semangat jatidiri dan kebanggaan rakyat negara ini apabila memperolehi satu lagi khazanah warisan negara berbentuk dokumentasi bertaraf dunia," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, Rabu.
Rais berkata rakyat Malaysia perlu sedar bahawa negara juga memiliki warisan yang mempunyai kepentingan di peringkat dunia.
"Kelebihan dan kepentingan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 4 Rejab 702 Hijrah atau 22 Februari 1303 Masihi adalah merupakan bukti terawal kewujudan tulisan Jawi dalam dunia Melayu dan Asia Tenggara sekaligus membuktikan kedatangan Islam adalah seawal tahun 1303, maka saya harap kesedaran ini akan meningkatkan rasa cinta kepada warisan di kalangan rakyat," katanya.
Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan berusia 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran paling tua dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.
Batu itu disedari oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari iaitu seorang ahli perniagaan. Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah dipersembahkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III dan kemudian batu itu diletakkan di atas Bukit Puteri.
Sebuah Jawatankuasa yang dikenali sebagai "International Advisory Committee" (IAC) yang diadakan di Barbados pada 31 Julai lepas telah menyenaraikan Batu Bersurat Terengganu bagi memastikan khazanah warisan berbentuk dokumentasi di seluruh dunia terpelihara untuk diwarisi generasi akan datang.
Ia merupakan pengiktirafan keempat yang diperolehi Malaysia selepas tiga lagi pengiktirafan diberikan di bawah kategori yang sama iaitu Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat-Surat Sultan Abdul Hamid, pada 2001.
Sementara itu Rais turut meminta Pakar Sejarah untuk mengkaji kedatangan sebenar Islam ke Tanah Melayu berikutan terdapat persoalan akan kedatangan Islam sama ada pada kurun ke-14 atau kurun ke-13.
"Timbul persoalan apakah kedatangan Islam ke Malaysia pada 1409 melalui terbukanya Melaka atau pada 1303 menerusi Batu tersebut, persoalan ini penting , maka kita mengharapkan agar para sarjana dan sejarawan mengkaji perkara ini," katanya.
Beliau berkata kajian yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Indonesia menyatakan Islam tiba di Perlak pada 1242 atau 1292.
"Itu yang dikaji oleh Perlak, kalau dalam tempoh 1242 dan 1292 jangka itu bermakna Batu ini yang tertera tarikhnya pada 1303 adalah selepas itu, tapi ia belum lagi dikaji secara ilmiah, barangkali perlu pihak tertentu untuk mengkaji peristiwa ini," katanya.