Melayu Perlu Yakin Diri Sendiri Dan Tidak Takut Jadi Pemain Utama
Orang Melayu diminta yakin pada diri sendiri pada setiap masa dan tidak harus takut menjadi pemain utama dalam semua bidang khususnya ekonomi bagi memajukan bangsa dan negara.
Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata pendirian seumpama itu penting bagi membuktikan kepada kaum lain, terutama di negara asing bahawa bangsa Melayu mampu berjaya dan setanding dengan bangsa lain di dunia.
"Pada setiap masa kita harus mempunyai keyakinan atas diri kita sendiri yang kita mampu bersaing dengan orang lain, bangsa lain. Kita juga harus menjadi pemain utama dalam semua bidang," katanya pada forum khas sempena Perhimpunan Agung Umno 2007 yang turut disiarkan secara langsung oleh RTM1 malam ini.
"Walaupun kita banyak diuji dengan beberapa insiden, terutama insiden kemorosotan ekonomi pada 1996/1997, tetapi kaedah kita yang dapat mengeluarkan diri daripada insiden itu membuktikan bahawa kita bangsa Melayu, profesional Melayu, pemimpin Melayu telah menunjukkan kualiti pengurusan yang begitu profesional, praktikal dan bijaksana," katanya.
Forum itu turut disertai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Naib Presiden Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz yang juga Ketua Wanita Umno.
Menyentuh mengenai ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi tadi, Nor Mohamed berkata ucapan perdana menteri itu amat inklusif dan menyentuh semua bidang, terutama ekonomi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun selepas pelaksanaan tranformasi ke atas GLC yang bermula pada Mei 2004, syarikat-syarikat berkenaan telah berkembang dan berjaya mewujudkan modal tambahan sebanyak RM108 bilion.
"GLC, begitu penting. Ia telah membuktikan bahawa profesional Melayu yang dilantik menerajui syarikat-syarikat besar, tempatan dan luar negara mampu menerajui dengan jaya.
"Jadi kita telah membukti kepada diri kita dan juga kepada kaum lain dan orang-orang asing bahawa profesional Melayu boleh dan mampu menerajui mana-mana syarikat besar," katanya.