Penggunaan Istilah Bahasa Malaysia Dan Bukan Bahasa Melayu Muktamad, Kata Zainuddin
Keputusan kerajaan supaya istilah Bahasa Malaysia dan bukannya Bahasa Melayu digunakan adalah muktamad, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.
Beliau berkata kabinet telahpun mengarahkan penggunaan istilah ini digunakan oleh jabatan kerajaan dan sekolah dan untuk semua urusan rasmi.
Katanya penggunaan istilah Bahasa Malaysia ini dilihat lebih positif dan efektif dalam membangunkan bahasa itu sebagai bahasa perpaduan.
"Indonesia sendiri menggunakan istilah 'bahasa Indonesia' walaupun bahasa yang digunakan itu adalah bahasa Melayu. Tidak semestinya jika Amerika menggunakan terma bahasa Inggeris bagi bahasa rasminya, maka itu sudah betul untuk kita ikuti," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi delegasi syarikat media dari Beijing, People's Daily, di lobi Parlimen di sini hari ini.
Zainuddin berkata bahawa daripada segi psikologi, penggunaan terma Bahasa Malaysia merupakan satu pendekatan lebih mesra dan lebih efektif dalam usaha menyatupadukan masyarakat Malaysia.
Katanya apa saja anasir yang positif harus dipromosikan untuk perpaduan.
"Pendekatan yang negatif boleh menimbulkan perasaan tidak selesa dan perkauman di kalangan kaum bukan Melayu dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa nasional," katanya.
Zainuddin juga berkata kedatangan delegasi People's Daily yang diketuai oleh timbalan ketua pengarangnya, Ma Li, adalah sebahagian daripada usaha penting untuk mengeratkan hubungan kedua-dua negara menerusi media.
"Kita telah jadi rakan rapat dalam banyak hal...ekonomi, politik, sosial dan telah maju. Dan kita nampak bahawa yang boleh memainkan peranan untuk memperbaiki lagi kemajuan ini ialah media, terumatanya akhbar," katanya.
Beliau berkata Bernama telah mengadakan rundingan mengenai kerjasama dalam usaha menyalur dan bertukar-tukar maklumat atau berita antara kedua-dua negara.